Hantu Penanggalan
"Abang, Amy rasa tidak sihatlah hari ini!" rungut seorang wanita sambil mengurut-urut perutnya yang sarat itu. Ramli menoleh kearah isterinya, "Sabarlah sayang, bidan Esah akan sampailah tu sekejab lagi. Dia menoleh kehadapan semula sambil melepaskan satu keluhan kecil dan terus mundar mandir di serambi rumah itu. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu tidak dapat mengurangkan keresahan di hatinya. Tiba tiba air mukanya berubah riang. "Sayang, mak bidan dah sampai" dia memberitahu isterinya.
Seorang wanita yang separuh umur berjalan dengan tenang kearah rumah papan itu, sekali sekala mengesatkan peluh yang merchik di dahinya. "Mak Cik Esah, cepatlah sikit." sapa lelaki itu. Wanita itu kelihatan terkejut.
"Kenapa ni. Minah dah sakit ke? Bukankah masih awal lagi ni?" ujar wanita itu lagi.
"Tidak lah begitu. Tetapi dia ni asik menggelisah semenjak dua tiga hari ni." jawab lelaki itu.
Mak Cik Esah cuma mengganggukkan kepalanya sambil menanggalkan seliparnya sebelum memijak naik anak tangga. Dia mencapai gayung di tepi pemegang tangga dan mencebuk air dari tempayan untuk membasuh kakinya. Dengan berhati-hati dia melangkah naik ke atas dan masuk kedalam rumah sambil diikuti oleh Ramli.
Mak Cik Esah meletakkan barang-barang yang dikeleknya dalam bungkusan kain itu ke tepi seorang wanita yang terbaring di atas tikar mengkuang di lantai. Segera dia mengeluarkan bekas dupa dan sekejab sahaja bau kemenyan semerbak mencucuk hidung. Muka Cik Esah berkerut dengan tiba-tiba.
"Kenapa tu. Ada apa-apa ke?" tanya Ramli, cermas.
"Tidak ada apa-apa." jawab bidan Esah pendek sambil sibuk membungkus sesuatu daripada dalam bungkusan kainnya kepada beberapa bungkusan kecil. "Nah! letakkan ni di setiap penjuru rumah." sambil mengunjukkan beberapa bungkusan berisi jarum, belerang dan tahi besi berbungkus dalam kertas. Muka Ramli berkerut kehairanan, tetapi tetap akur menurut arahan bidan itu. Mulut bidan Esah terkumat-kamit membaca sesuatu sambil dia mengurut belakang wanita yang terlantar itu. Setelah mengurut beberapa lama, muka wanita itu tidak lagi berkerut menahan sakit.
"Wah! bagus Mak Cik Esah ni mengurut." kata Ramli, tersenyum setelah naik ke rumah apabila selesai melakukan seperti apa yang dipesan oleh bedan Esah tadi. Hatinya lega melihatkan isterinya sudah tidak duduk mengelisah lagi. Bidan Esah hanya tersenyum sumbing sambil mengemaskan barang-barangnya. Ramli menghantar bidan Esah sehingga ke pintu rumah seraya mengunjukkan duapuluh ringgit yang berlipat rapi. "Terima kasih sekali lagi Mak Cik Esah." kata Ramli bersungguh-sungguh.
"Kau jagalah bini engkau baik-baik." kata bidan Esah. "Jangan biarkan dia turun ke tanah waktu-waktu magrib nanti. Kalau dia memotong kuku, engkau tanamkan kukunya, jangan dibuang merata-rata. Kalau ada apa-apa panggillah aku. Ingat itu." pesannya bersungguh-sungguh. Ramli hanya mengganggukkan kepalanya. Matanya menyorot bidan Esah sehingga melepasi pagar, selepas itu dia masuk melihatkan isterinya.
"Amy rasa dah sihatlah abang." ujar isterinya sambil tersenyum. Rahim merasa bimbang ketika isterinya itu mengadu sakit-sakit badan semenjak beberapa hari yang lalu, sekarang barulah dia merasa lega. "Rehatlah dahulu sayang." bisiknya lembut.
Beberapa minggu kemudian....
Bunyi cengkerit bersahut-sahutan. Keadaan rumah itu agak riuh dengan orang ramai. Mak cik Jah menenangkan menantunya. "Sabarlah Aminah. Sabar. Hah! engkau Bidin, buat apa tercegat di situ lagi. Cepatlah panggilkan bidan Esah tu. Bini engkau dah hendak bersalin ini."
"Baik mak." ujar Bidin sambil tergesa-gesa turun kerumah sambil menyalakan jamung untuk menerangi jalan kampung yang gelap itu. Di pertengahan jalan tiba-tiba dia disapa, "Hendak ke mana tu Bidin?"
Bidin tercangak-cangak, cuba mengenali siapakah yang menegurnya dalam kegelapan malam itu. "Hendak menjemput bidan Esah." jawabnya pendek.
"Minah sudah hendak beranak ke?" tanya suara garau itu lagi.
"Dah." jawab Bidin. "Siapa itu?" tanya Bidin lagi apabila dia melihat seimbas, satu lembaga dalam samar-samar api jamung itu. Tiba-tiba dia merasa seram apabila melihat lembaga itu sudah menghilang dengan mengejut. Dia segera mencapai hulu parangnya yang tersisip di pinggang. "Siapa itu? Siapa hah?" dia mencabar pada kesepian malam. Hanya bunyi cengkerit menyayi riang menyahut cabarannya, menyebabkan Bidin mempercepatkan langkahnya kearah rumah bidan Esah. Dalam hatinya dia asyik tertanya-tanya suara siapakah yang menegurnya tadi, sehinggakan dia tidak tersedar satu lembaga putih melayang kearah yang bertentangan dengannya di atas kepalanya.
Di rumah Bidin, satu lembaga kelihatan melangkah semakin dekat. Mak cik Jah yang sedang menunggu di anjung segera menajamkan mata, cuba memastikan siapakah yang datang itu. "Oh! bidan Esah." kata Mak Cik Jah, gembira. "Mana Bidin? Dia tidak ikut bidan Esah bersama-sama?" sambungnya lagi kehairanan.
Bidan Esah mecucurkan air dari gayung untuk membasuh kaki, sebelum meletakkan cebuk itu kembali dalam tempayan di tepi tangga. "Dia kata dia hendak pergi mencari daun ubat sebelum balik." terang bidan Esah menunggu di pintu masuk. "Eh! masuklah." jemput Mak Cik Jah pada bidan Esah. dia masih kehairanan dengan perangai anaknya itu yang tidak menemani bidan Esah datang. Dia menjeling keluar dengan ekor matanya, tertanya-tanya bagaimana bidan Esah boleh berjalan dalam gelap tanpa bersuluh. "Jamung aku terjatuh semasa aku hendak sampai tadi." kata bidan Esah sambil melangkah masuk, seolah-olah tahu apa yang hendak ditanyakan oleh Mak Cik Jah. Mak Cik Jah tersipu-sipu sambil menunjukkan bilik menantunya berada. "Engkau semua tunggu sahaja di luar nanti. Jangan masuk walau apa yang berlaku." arah bidan Esah. Mak Cik Jah terus tertanya-tanya dalam hati tetapi dia hanya menganggukkan kepalanya.
Aminah terbaring di dalam bilik keseorangan sambil memejamkan matanya. Dia membiarkan sahaja bidan Esah memeriksanya, apabila tiba-tiba dia merasakan perutnya sakit mencucuk-cucuk. Dia membukakan matanya dan darahnya berderau melihatkan satu lembaga yang hodoh sedang duduk di celah kelangkang kakinya sambil menjilat-jilat darahnya dengan lahap sekali, menggunakan lidah terjelir panjang sehingga ke kaki. Aminah menjerit-jerit sekuat hatinya. Lembaga itu hanya tersengih sambil terus menjilat-jilat darah yang keluar. Aminah tidak dapat berbuat apa-apa kerana kakinya di pegang erat oleh lembaga itu. "Tolong.. Tolong... Lepaskan aku. lepaskan aku. Engkau shaitan.. Pergi... Pergi.. Abang Bidin... Tolong... Tolong...."
Mak Cik Jah terkejut mendengarkan jeritan menantunya. Hatinya risau tetapi dia teringat pesan bidan Esah dan akur menunggu di luar pintu bilik. Orang ramai di ruang tamu sudan mula berbisik-bisik mendengar teriakan Aminah di dalam bilik itu. Tiba-tiba terdengar bunyi kecoh di muka pintu, Bidin muncul tercungap-cungap.
"Hah! mana engkau pergi Bidin? Lambat balik. Kenapa dengan engkau ini?" tanya Mak Cik Jah bertubi-tubi, kerisauan.
"Saya pergi memanggil bidah lah mak." jawab Bidin kehairanan.
"Bidah Esah sudah lama sampai. Engkau saja yang entah kemana-mana pula." jawab emaknya.
"Bila pulak aku sampai." terdengar satu suara di muka pintu.
Mak Cik Jah berpaling dengan pantas. Mukanya pucat, jika dihiris tidak berdarah. "Bidan Esah... Kalau macam itu siapa pula yang di dalam..." katanya terputus-putus.
"Syaitan! Penanggalan!" getus bidan Esah sambil mengetapkan bibirnya penuh kemarahan.
"Abang Bidin...... Tolong..." Aminah meraung dari dalam bilik.
Bidan Esah segera menerpa ke bilik tetapi ternyata Bidin lebih pantas mendapatkan isterinya, diikuti dengan bidan Esah. Mak Cik Jah hanya terpaku terpinga-pinga di tengah ruang rumah, kebingungan.
Bidin terperanjat melihatkan isterinya meronta-ronta lemah seorang diri. Bau darah hanyir menusuk-nusuk hidungnya menyebabkan dia hampir muntah. Segera dia memegang lengan isterinya. "Tolong isteri saya bidah Esah. Tolonglah." dia merayu kepada bidan Esah yang terkocah-kocah mengekorinya di belakang.
Bidan Esah segera memeriksa Aminah dengan teliti. "Syukurlah kita cepat, masih ada peluang. Cepat Bidin, buat seperti apa yang aku suruh tadi." Sementara itu bidan Esah mengambil seikat daun telinga beruk dari dalam bungkusannya lalu diberikan kepada Mak Cik Jah yang kelihatan masih terperanjat itu.
"Cepat rebuskan daun ini untuk di beri minum buat air selusuh. Lepas itu engkau jerangkan air panas untuk digunakan nanti." dia mengarah Mak Cik Jah. Bidan Esah berharap dengan ada sesuatu untuk dibuat, Mak Cik Jah tidak akan lama berada dalam keadaan terkejut.
Bidan Esah tersenyum sedikit apabila terdengar bunyi bising dari arah dapur menunjukkan semangat Mak Cik Jah sudahpun pulih sedikit dan boleh membantu. Dia terus membacakan beberapa patah ayat suci Al-Quran lalu menghembuskan keseluruh tubuh Aminah sebelum membuat persediaan yang diperlukannya. Ternyata tidak banyak perubahan berlaku. "Oh! Kamu degil ya!" Desis hatinya.
Bidin melompat pantas, melakukan seperti apa yang disuruh. Dia turun ke tanah dengan parang terhunus mencari daun mengkuang dengan hanya bermandikan cahaya bulan.
Dalam kegelapan malam itu satu hilaian memecah kesunyian malam. Bidin mengetapkan bibirnya. "Kalau aku dapat, tahulah engkau." dia mengerutu keras. Tangannya menghayunkan parang yang tajam berkilat itu sekuat hatinya ke pangkal daun mengkuang. Bunyi parang mengerat daun mengkuang itu bergema dalam kesunyian malam....
Aminah dapat melihat lembaga hodoh itu mengelisah sebaik sahaja suaminya menerkam masuk tetapi lembaga itu terus sahaja menjilat-jilat darah yang mengalir itu sambil menyeringa ke arah Bidin dan bidan Esah, tetapi kedua mereka tidak menyedari kehadiran lembaga itu. Aminah cuba menjerit memberitahu mereka tetapi dia hanya mampu mengerang-gerang. Kemudian Aminah dapat melihat Bidin keluar daripada bilik itu meninggalkannya bersama bidan Esah. Aminah dapat merasakan perutnya memulas setiap kali lembaga itu menjilat-jilat darah dari tubuhnya. Apabila asap kemenyan berkepul-kepul naik, Aminah merasa lega sedikit sementara lembaga itu pula yang mulai mengelisah.
Bidan Esah menaburkan serbuk kemenyan ke atas bara di dalam dupa dan membiarkan sahaja asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al Quran. Dia kemudiannya mengeluarkan beberapa biji lada hitam dan mengasapkannya di atas dupa sebelum meletakkannya ke dalam kain lalu di tumbuknya perlahan-lahan dengan kacip pinangnya apabila dengan tiba-tiba...
Aminah dapat melihat lembaga itu menyeringa kesakitan apabila bidan Esah mengetuk sesuatu di dalam ponjot kain. Secara tiba-tiba lembaga itu melontar sesuatu ke arah muka bidan Esah.
"Aduh!" Jerit bidan Esah sambil memegang matanya yang tiba tiba sahaja perit. "Oh! Engkau melawan aku ya." Bisiknya sambil mengeyeh-genyehkan matanya, cuba melihat kembali. Bidan Esah mendapati pasir memenuhi lantai tempat dia duduk. "Cis! Jembalang. Kalau jembalang itu tidak patut di buat baik." Desisnya di dalam hati sambil mengumpulkan pasir yang bertaburan itu ke dalam telapak tangannya sambil mulutnya terkumat-kamit berterusan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Aminah melihat bidan Esah menaburkan pasir yang di telapak tangannya sedikit demi sedikit ke atas bara api di dalam bekas dupa, serentak dengan itu lembaga itu meraung kesakitan. Dengan tiba-tiba lembaga itu bingkas bangun serta menerkam kearah bidan Esah. Aminah cuba menjeritkan amaran tetapi suaranya tersangkut di dalam tekaknya sahaja. Sebaik sahaja lembaga itu cuba mencekik bidan Esah ada sesuatu kuasa yang menghalangnya dan menyebabkan lembaga itu terpelanting ke sudut bilik. Lembaga itu terus cuba untuk menyerang bidan Esah beberapa kali tetapi ia terus terpelanting sebaik sahaja cuba merapati bidan Esah. Akhirnya lembaga itu tersandar sambil terkial-kial kesakitan sementara bidan Esah berterusan sahaja membaca ayat suci Al Quran sambil menaburkan pasir di tangannya ke bara api.
Aminah dapat melihat badan lembaga itu berasap dan melepuh dan dengan secara tiba-tiba sahaja badan lembaga itu terbakar dengan maraknya. Aminah dapat melihat lembaga itu mengelumpur kesakitan sementara badannya marak terbakar sebelum sedikit demi sedikit berubah menjadi asap tebal yang hitam kelam yang menyelubungi bilik itu. Asap hitam itu berlegar-legar mengelilingi bidan Esah, seolah-olah hendak melemaskannya, tetapi bidan Esah tidak sedikitpun berhenti membaca ayat-ayat suci sambil terus membakar baki pasir yang tinggal di tangannya. Akhirnya asap hitam itu beransur-ansur semakin menipis ditiup angin yang menerpa masuk melalui liang dinding rumah kayu itu sebelum bercampur dengan asap kemenyan lalu hilang.
Setelah lembaga itu menghilang barulah Aminah dapat bingkas duduk dan menjerit ketakutan, sebelum dia ditenteramkan oleh bidah Esah. "Mengucap, mengucap anak. Jangan lupa kepada Allah yang sentiasa melindungi hambanya daripada gangguan shaitan." Perlahan-lahan perasaan Aminah menjadi bertambah tenang setelah dia mengucap berkali-kali dan barulah dia boleh berbaring kembali ke katil.
"Bidin! Engkau jangan masuk." Arah bidan Esah apabila mendengar bunyi telapak kaki Bidin yang bergegas naik apabila mendengarkan jeritan isterinya. Bidin akur dan menunggu dengan penuh bimbang di muka pintu.
Melihatkan Aminah sudahpun bertenang, bidan Esah segera mengeluarkan segala alat perubatannya dari dalam bungkusan kain yang sentiasa dikeleknya bersama, dan segera dia bertungkus lumus dengan segala keupayaannya sebagai seorang bidan berusaha untuk menyelamatkan dua nyawa yang berada di hadapannya itu. Mula-mula dia memberhentikan darah yang keluar itu menggunakan beberapa campuran daun yang diramas lumat. Selepas pendarahan itu berhenti, barulah dia mengurut perut Aminah, cuba mengasak bayi dalam kandungan itu supaya turun sedikit. Dia berasa bimbang sedikit kerana mendapati kandungan itu masih tinggi sedangkan Aminah sudahpun lesu akibat terperanjat dan banyak kehilangan darah tetapi dia tetap mengawal air mukanya agar Aminah tidak dapat melihat perasaan bimbang di dalam hatinya. Bidan Esah mengeluh sambil berusaha seupayanya.
Bidin sudahpun selesai meletakkan daun mengkuang di sekeliling rumah apabila dia mendengar bunyi teriakan dari atas rumah. Segera dia menerpa ke atas rumah tetapi arahan bidan Esah menyebabkan dia terhenti di muka pintu bilik. Bidin menunggu dengan penuh debaran.
Bunyi tangisan bayi menyambut ketibaannya. Hatinya berdegup kencang apabila bidan Esah melangkah keluar sambil mendokong seorang bayi yang baru lahir. "Nah, pegang anak engkau. Syukurlah semuanya selamat." kata bidan Esah sambil menyelak sedikit kain pembalut bayi itu sebelum melangkah masuk kembali kedalam bilik. Bidin dapat merasakan matanya berair. Dia berdiri tegak sahaja sambil mendodoikan anaknya itu seketika, kemudian sambil memangku anaknya dia mengalunkan azan dengan perlahan-lahan di telinga kanan anaknya.
-copy paste dari Wujud (Paranormal Team)
P/s - Sorry sapa yg lemah semangat tapi tetap mo baca..hihi..tapi ini lh kisah seram dahulu kala yg masih d percayai/ wujud hingga hari ini di sesetengah tempat d Sabah..ada yang bilang kawasan Kota Belud banyak benda ni..teringat juga masa kecil d Kota Marudu pacik selalu nampak benda ni atas atap rumah kami masa macik pregnant..sbb pacik ni polis peronda..bila malam2 meronda kawasan rumah kami..dia nampak lh benda ni..apa2 pn suma yang terjadi atas kekuasaan Allah..Wallahualam..
Pengalaman Bersalin Baby Girl Number Two.
-
Assalamualaikum.
Disclaimer: Blogpost ni dah tulis lama dah, tapi takde kesempatan nak
review dan edit. Dah nak masuk 2025 wehh. Baru ada masa. Kita te...
4 days ago
2 comments
Wuish takutnya nak baca haha
Replyhahaha...takut nak baca..tapi baca juga..haha...
Reply